Monday, February 21, 2011

Kita menolak al-Hawa'...bagaimana memulakannya di Facebook?


Saban hari laman Facebook sudah semakin mewarnai kehidupan hampir semua pemuda-pemudi. Disitulah tempat bertanya khabar, tempat berkomunikasi, tempat bertemu rakan lama, dan disitulah tempat bersosial. Tidak kurang juga status sesetengah rakan yang banyak berkongsi tazkirah,ayat Al-Quran, hadis dan pemikiran bernas. Namun ada juga sesetengah rakan yang suka mencemari dinding facebook dengan perkara yang kurang soleh.

Dan dari situlah terserlahnya keperibadian dan identiti seseorang. Bagaimana dia berinteraksi dengan rakannya,bagaimana dia membalas status,bagaimana dia mengawal privasinya dan lain-lain.

Sedang kita melayari laman facebook itu, beringatlah kita pada nasihat Maimun bin Marhan, seorang ahli hadis yang thiqah,

“Jauhkanlah dirimu dari sebarang hawa yang bukan bernama Islam.”

Al-Hawa yang dimaksudkan itu bererti perkara yang bukan Islam dan ia hanyalah nafsu semata. Ia boleh jadi sesuatu perkara yang kita sedar ataupun tidak dan takutlah kita jika kita tidak sedar yang sebenarnya kita telah terjebak dengan al-Hawa.

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya. (Hadis ini Hadis Hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian.)

Maka jadilah kita seorang mukmin yang jelas pegangan terhadap agama. Dimana iman yang kita benarkan dalam hati,diikrarkan dengan lisan dan diamalkan dengan perbuatan. Apabila kita meletakkan Allah lebih tinggi dari segalanya, sudah tentu lisan dan perbuatan juga turut menzahirkannya. Dan kita juga turut meninggalkan apa yang tidak membawa faedah pada diri kita.

Islam tidak hanya dipandang pada solat,puasa dan ibadah tetapi ia juga dipandang pada segi aspek pergaulan sosialnya,akhlak pertuturanya dan indah peribadinya .Keimanan yang kuat sahaja yang akan mampu membentengkan diri dari silauan hawa yang sentiasa menggoda.

Fenomena facebook ini bukanlah suatu ruang yang mengizinkan kita memandang ringan terhadap agama. Sebagai seorang daie, kita perlulah menonjolkan peribadi yang mantap dan buah fikiran yang membina dan bermanfaat. Masalah ikhtilat juga sangat perlu dititik beratkan walaupun hanya di laman facebook yang tidak memerlukan pertemuan secara alam nyata. Status, komen dan penggunaan bahasa juga haruslah menggambarkan keindahan akhlak dan jati diri Islam yang sebenar. Kita juga perlu memainkan peranan dalam menasihati rakan-rakan yang terang-terangan menyiarkan kemaksiatan atau perkara yang sia-sia.

Namun, ini bukanlah menjadikan kita seorang yang serius. Elemen humour tidak pernah dihalang oleh islam selagi ia tidak melanggar syarak. Malah medium ini sangat berguna untuk meluaskan ukhuwwah dan mesej islam itu sendiri di kalangan rakan. Asalkan kita sendiri sedar dan mengawal privasi dan kelonggoran yang ada hadnya.

Didiklah diri kita ini bersungguh-sungguh menolak hawa dan melatih kita menjadi orang yang soleh. Tidak kira samaada di alam maya mahupun di alam nyata. Dan semaikanlah rasa izzah iaitu bangga pada agama yang menjadi pegangan dan jati diri kita. Impaknya pasti terkesan pada rakan yang lain insyaAllah.


No comments:

Post a Comment